Islamic Widget

Al Quran

Friday, October 29, 2010

HIKAYAT NAMA TEMPAT DI NEGERI PAHANG (TEMERLOH)

TEMERLOH.

Bandar Temerloh lahir daripada pekan Kuala Semantan. Dahulu, Kuala Semantan merupakan sebuah pekan yang penting di tebing Sungai Pahang. Kawasan pekan itu berkembang hingga lama-kelamaan pusat kegiatan penduduk di situ berpindah jauh dari kuala sungai. Kawasan baru yang menjadi tumpuan penduduk tempatan itu ialah Temerloh.

Menurut cerita, nama Temerloh dikatakan berasal daripada perkataan ‘mereloh’. Perkataan ‘mereloh’ adalah perkataan loghat tempatan yang bermaksud ‘tidur’. ‘Te’ pada pangkal nama Temerloh ialah asalnya ‘ter’ yang menunjukkan perbuatan tidak sengaja, yakni ‘tertidur’.

Perkataan ‘temerloh’ itu timbul berikutan satu peristiwa yang berlaku di situ. Pada masa dahulu ada seorang penghulu yang amat kaya dan mempunyai dusun durian yang luas di sekitar Kuala Semantan. Penghulu itu telah menggaji seorang penduduk tempatan untuk menjaga dusunnya itu apabila tiba musim durian. Orang upahan itu ditugaskan untuk berjaga pada malam hari agar tidak ada pencuri yang masuk ke dusun untuk mencuri buah durian. Pada paginya dia ditugaskan untuk mengutip dan mengumpulkan buah durian yang telah gugur untuk dijual.


Pada suatu hari, seperti seperti biasa penghulu itu pergi ke dusunnya untuk mengambil buah durian yang dikumpulkan untuk dijual. Akan tetapi, penghulu mendapati jumlah jumlah buah yang dikutip itu kecil berbanding dengan kutipan hari-hari sebelumnya. Penghulu itu pun bertanya kepada orang upahannya. “Mengapakah hasil yang dipungut kali ini berkurangan?”

Orang itu menerangkan, “Durian Orang Kaya telah dicuri orang malam tadi.”

“Mengapa jadi begitu?”

“Maafkan saya, Orang Kaya. Saya temereloh.”

Lalu penghulu itupun memecat lelaki tersebut dan menggantikan dengan orang lain. Namun perkara yang sama juga berlaku. Mereka sering menjawab “Temereloh” ketika menjaga dusun penghulu itu pada waktu malam. Sehinggalah beberapa orang telah bertukar ganti untuk menjaga dusun Penghulu tersebut dan perkara dan ayat yang sama akan berulang lagi.

Sejak itu, kawasan dusun penghulu tersebut dipanggil Temerloh. Temerloh semakin membangun dan menelan pekan Kuala Semantan. Kini bandar Temerloh merupakan bandar yang kedua terbesar di Pahang dan merupakan tempat persinggahan yang penting bagi pengguna lebuhraya dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur Semenanjung.


Wallahu a’lam.

sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi

HIKAYAT NAMA TEMPAT DI NEGERI PAHANG (JENGKA)

JENGKA.

Gugusan Jengka merupakan gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Dengan adanya tanah rancangan-tanah rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu seratus peratus iaitu Bandar Pusat Jengka.

Bandar Jengka adalah satu inspirasi bekas perdana menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak untuk mengujudkan satu bandar 100 peratus orang melayu.Tapi kini Bandar Jengka tidak lagi dimonopoli oleh orang melayu sahaja,kerana di kawasan Jengka 15 terdapat satu deret kedai telah ditembusi oleh peniaga bukan melayu.


Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar kelapa sawit dan getah. Terdapat 25 kawasan penempatan di Jengka yang dinamakan dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga.

Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka. Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia),Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembong), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati),Jengka 12 (Melor), Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Bunga Raya), Jengka 15(Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19(Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (Terkis), Jengka 23(Tonkin), Jengka 24 dan Jengka 25. Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25. Di dalam kawasan jengka juga terdapat Tanah Rancangan Felda yang tidak menggunakan nama Jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari Jengka itu sendiri. Antaranya Felda Kampong Awah (1963), Felda Ulu Jempol (1965) dan Felda Sungai Nerek (1967).


Ada juga di kalangan penduduk Jengka membuat jenaka dengan mengatakan terdapat Jengka 26. Jengka 26 yang dimaksudkan ialah Kampus UITM Cawangan Pahang yang berkeluasan 1000 ekar yang terletak di Bandar Pusat Jengka (Kini dikenali sebagai Bandar Jengka).

Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua versi yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:

Versi Pertama - Diceritakan oleh orang-orang tua, bahawa terdapat sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, setiap hari beliau akan keluar berburu di hutan. Setelah lewat senja barulah ia pulang ke pondok dengan membawa hasil buruan.

Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.

Versi Kedua - Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran itu, sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Kononnya dari sinilah Jengka mendapat nama.


Wallahu a’lam.

sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi

HIKAYAT NAMA TEMPAT DI NEGERI PAHANG (MARAN)


MARAN

MARAN adalah sebuah daerah dalam Negeri Pahang iaitu terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Kuantan ke Jerantut dan ke Temerloh.

Terdapat banyak tempat-tempat rekreasi yang menarik di daerah Maran seperti Air Terjun Berkelah, Jeram Pelangi di Kuala Sentul dan juga Lubuk Yu.

Dikatakan oleh orang-orang tua bahawa asal-usul nama Maran adalah berasal dari cantuman perkataan “Baran” dan “Mengaran”. Pada zaman dahulu, ditepi Sungai Luit yang laluannya tidak berapa jauh dari Bandar Maran ada beberapa buah kampung yang telah wujud semenjak Masehi 1250 seperti Kampung Merageh, Kampung Belada, Kampung Subuh, Kampung Kuala Luit, Kampung Garok dan Kampung Merbau.

Penduduk-penduduk dari kampung tersebut selalu berulang-alik ke satu kawasan paya Baran berhampiran sebatang anak Sungai Luit untuk menangkap ikan. Erti Baran dalam bahasa Melayu ialah hutan di kawasan yang ada banyak ikan terutama ikan keli, haruan dan ikan puyu.

Kawasan Baran menjadi tumpuan dan akhirnya penduduk kampung lebih suka bermalam di sana dan ada juga berpindah ke tempat itu, jadinya dari kampung asal berpindah duduk ke tempat lain terutamanya tempat yang belum ada namanya. Dalam bahasa melayu kampung selalu menyatakan bahawa orang yang berhijrah itu dengan nama Mengaran (maksudnya berhijrah ke Baran).  

Ada sesetengah tempat di Pahang menyebut bahawa mengaran itu adalah sejenis cara menangkap ikan. Sebatang kayu panjang dicacakkan di tengah sungai dan dibiarkan kira-kira dua kaki dari kayu tersebut muncul di permukaan sungai. . Hujung kayu tersebut diikatkan tangsi dan mata kail. Umpan yang disangkut dibiarkan terapung-apung ditolak arus sungai. Mereka menyebutnya sebagai memasang aran.

Bagi mereka yang tinggal dengan membuat tempat kediaman di kawasan Baran Paya Chedong itu telah membuat kata sepakat menamakan tempat mereka itu Maran. Ini adalah disebabkan perkataan Mengaran ke Baran itu dicantumkan menjadi Maran. Maka disebabkan perkataan itulah kononnya asal-usul nama Maran diberi.

 
Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit.

Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).

Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai 'Maran' atau 'Sahabat' serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan menyusur sungai inilah orang asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran.

Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.


Wallahu a’lam.

sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi

HIKAYAT NAMA TEMPAT DI NEGERI PAHANG (KUANTAN)

KUANTAN

Kuantan ialah ibu negeri Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Kuantan terletak berhampiran Sungai Kuantan mengadap ke Laut China Selatan. Pusat pentadbiran negeri Pahang telah berpindah ke Kuantan dari Kuala Lipis sejak dari tahun 1976 merupakan bandar terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Berkedudukan di pesisir Laut China Selatan dan di tebing Sungai Kuantan berdekatan kualanya, Kuantan yang masyhur dengan pantai-pantainya dan Masjid Sultan Ahmad 1 sebagai ikon di tengah-tengah bandar adalah pintu masuk ke Pantai Timur bagi mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur dan selatan Semenanjung.

Kuantan dipercayai telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke-19 adalah bermula sebagai petempatan. Hal kewujudan Kuantan ini telah pun disentuh oleh Abdullah Abdul Kadir Munsyi dalam Hikayat Abdullah Munsyi pada tahun 1851/1852 seperti berikut:

"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada dan; maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari...."


Pada abad ke-19, pendatang dari Sumatera (Indonesia) dipercayai telah membuka penempatan di tebing Sungai Kuantan, khususnya di sekitar Teruntum yang terletak berdekatan Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari ini. Terdapat beberapa teori mengenai asal nama "Kuantan". Ada yang mengatakan nama tersebut mempunyai kaitan dengan tempat asal pendatang dari Sumatera itu, yakni Kampung Kuantan. Terdapat juga satu tempat bernama Kuala Kuantan di negeri Selangor. Ada pula yang mengatakan nama bandar ada hubungan dengan bangsa China, kerana bunyinya yang sedemikian rupa.

Kuantan pada asalnya ialah Kuala Teruntum. – Akan diceritakan dalam Hikayat Nama Tempat Di Negeri Pahang (Beserah dan Teruntum) selepas ini.


Walau apa pun, suatu tempat bernama Kuantan telah wujud sebelum tercetusnya Perang Saudara Pahang pada tahun 1858, tatkala dua beradik, Wan Ahmad dan Wan Mutahir menentang satu sama lain untuk menguasai negeri tersebut setelah bapa mereka, Bendahara Ali, iaitu pemerintah Pahang, meninggal dunia. Pertelingkahan bermula apabila Wan Mutahir, yang menggantikan Ali sebagai Bendahara, telah menidakkan wasiat Ali yang menyatakan Wan Ahmad akan memerintah dua daerah - Kuantan, dan juga Endau (pada masa itu sebuah daerah dalam negeri Pahang; pada hari ini ia di dalam negeri Johor).

Perang saudara itu tamat pada tahun 1863 (walaupun pertelingkahan dalaman antara para pembesar yang telah berpecah-belah berterusan dalam dekad-dekad berikutnya), dengan Wan Ahmad mencapai kejayaan dan menjadi Bendahara Pahang yang baru. Beliau kemudiannya menaikkan taraf diri beliau sebagai Sultan Pahang, justeru mengasaskan susur-galur Sultan-sultan dan kerabat diraja yang sedang memayungi negeri. Pada waktu itu, cukai yang dikutip dari lembah Sungai Kuantan menjadi pendapatan utama pemerintah Pahang, justeru ia berkepentingan dari segi ekonomi negeri.

Kerajaan British mula mencerobohi pentadbiran negeri-negeri Melayu di sekitar permulaan Perang Saudara Pahang. Pada tahun 1888, British mengambil alih pentadbiran negeri Pahang. Kuantan mula diberikan perhatian sebagai pusat perdagangan, khususnya berkaitan aktiviti perlombongan bijih timah di pekan Sungai Lembing dan Gambang berdekatan. Pada masa itu, para peniaga berbangsa Cina mendominasi suasana perniagaan dan perdagangan di Kuantan.

Pada 30 Disember 1942, Kuantan telah jatuh ke tangan askar Jepun yang menyerang Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. Pusat bandar lama iaitu di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar masih menempatkan binaan-binaan era sebelum Perang Dunia Kedua, sementara kubu kecil yang dibina dalam menghadapi ancaman Jepun boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuantan.


Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang yang asalnya di Kuala Lipis sepanjang era residensi British telah dipindahkan ke Kuantan, dan kepentingan bandar ini dari segi pentadbiran semakin meningkat. Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (Malaysia terbentuk sebagai satu persekutuan dalam tahun 1963), Kuantan terus berkembang sebagai pusat komersial dan perusahaan yang penting. Kerajaan negeri dan Persekutuan membangunkan Kuantan dengan memberikan tumpuan kepada sektor pentadbiran, industri, pertanian dan pelancongan.

Oleh sebab Kuantan merupakan sebuah bandar yang "muda" secara relatifnya, ia tidak memiliki banyak budaya tradisi tempatan yang unik, melainkan yang dibawa oleh mereka yang berasal dari luar dan menetap di Kuantan, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan. Oleh sebab itu, amat mudah untuk mendengar orang ramai di Kuantan bercakap dalam loghat Terengganu dan Kelantan, sementara makanan tradisional dan kegemaran dari kedua-dua negeri itu juga popular di sini. Jauh sedikit dari bandar Kuantan sendiri, iaitu ke arah barat dan selatan, barulah budaya tradisi Pahang dapat diperhatikan sedikit demi sedikit.

Pemandangan pusat bandar dari udara. Sepanjang tahun 1990-an, Kuantan menyaksikan perkembangan pesat apabila pusat komersial di tengah bandar dibina dengan banyaknya, dan jumlah penduduk di sekitar bandar dan dalam daerah Kuantan meningkat. Kuantan yang dahulunya merupakan sebuah bandar yang damai dan digambarkan sebagai "sesuai untuk mereka yang sudah bersara", kini semakin sibuk dan mula mengejar status sebagai sebuah bandaraya. Beberapa kilang petrokimia gergasi telah dibuka di Gebeng, menandakan pertumbuhan berterusan dalam sektor industri.

Sebuah bandar satelit, iaitu Indera Mahkota telah mula dibangunkan sejak pertengahan 1980-an untuk memberi ruang pembangunan di bandar Kuantan, khususnya dari segi perumahan. Pejabat-pejabat kerajaan Persekutuan dan negeri yang terletak di pusat bandar Kuantan yang sesak mula dipindahkan secara berperingkat ke bangunan-bangunan baru di Indera Mahkota. Kampus cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah mula beroperasi (fasa-fasa berikutnya sedang dalam pembinaan).


Setelah siapnya Jambatan Tanjung Lumpur pada tahun 1996, petempatan di seberang Sungai Kuantan, yakni di tebing selatan akhirnya memiliki perhubungan jalan raya secara terus ke bandar Kuantan. Sebelum itu, orang ramai menggunakan bot-bot penambang dari jeti di Taman Esplanade untuk ke kampung di seberang sungai; kini bot-bot berkenaan sudah pupus sama sekali. Pertumbuhan di kawasan terbabit mula rancak, akan tetapi perlindungan khas diberikan buat hutan paya bakau yang masih menutupi tebing selatan tersebut agar ia terus terpelihara.

Suasana metropolitan di bandar Kuantan kian jelas dengan pembukaan pusat membeli-belah yang besar dan premis-premis bercitarasa dan kelas tinggi sejak akhir-akhir ini. Walaupun pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) belum mengumumkan sebarang sasaran secara rasmi, ramai penduduk menjangkakan Kuantan akan diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya dalam tempoh beberapa tahun terdekat.

Dalam tahun 2004, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Satu yang menghubungkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak ke Kuantan telah dibuka, memendekkan masa perjalanan dari ibu negara Malaysia sehingga separuh. Aktiviti perdagangan dan perindustrian, selain pelancongan dijangka semakin rancak. Kesannya sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh penduduk Kuantan sendiri pada hari ini. Pembukaan lebuhraya baru tersebut hampir serentak dengan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan ke-47 peringkat nasional di Kuantan pada 31 Ogos 2004.

Dalam bulan Oktober 2007, kerajaan Malaysia telah melancarkan pelan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region, ECER) untuk mempercepatkan pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, serta daerah Mersing di Johor. Pelan itu akan melihat suntikan pelaburan ke dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan industri. Walaupun Kuantan tiak diberikan penekanan besar (berbanding Kuala Terengganu yang dijadikan "pusat" bagi ECER meskipun Kuantan mempunyai lebih banyak ciri-ciri strategik), pembangunan di wilayah dan negeri akan memacu bandar itu ke hadapan. Di bawah pelan ECER, Pelabuhan Kuantan akan dinaik taraf menjadi sebuah Bandar Pelabuhan lengkap dengan zon perdagangan bebas, lebuh-lebuh raya baru akan dibina dan lapangan terbang sedia ada dipertingkatkan. Lokasi Kuantan di tengah-tengah jajaran pantai ECER (bermula dari Kelantan di utara ke Mersing di selatan) akan memastikan pembangunan dan kesejahteraan yang berterusan.


Wallahu a’lam.
Sumber : ms.wikipedia.org

sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi

HIKAYAT NAMA TEMPAT DI NEGERI PAHANG (TERUNTUM DAN BESERAH)

TERUNTUM DAN BESERAH

Beserah adalah sebuah perkampungan nelayan yang terkenal. Kampung ini terletak kira-kira sepuluh kilometer dari bandar Kuantan.

Kira-kira seratus tahun dahulu, ada seorang ahli tasauf berketurunan Arab yang berkampung halaman di Daik, Indonesia. Orang itu bernama Syed Abdul Rahman Syed Abdul Samad. Suatu ketika beliau mengetuai sepasukan pejuang Islam menuju ke Pattani di selatan Siam. Syed Abdul Rahman pergi ke Pattani untuk membantu ayahnya menentang tentea Siam. Ketika itu ayahnya memimpin sepasukan pejuang pembebasan di sana.

Walaubagaimanapun, cita-cita Syed Abdul Rahman hendak membantu pejuang Islam di Pattani itu gagal. Pasukannya kekurangan anggota serta senjata. Lantaran itu, Syed Abdul Rahman diminta berpatah balik ke Daik. Seorang warisnya dari negeri Siam yang bernama Haji Senik Abdul Karim telah ditugaskan menghantar pasukan Syed Abdul Rahman pulang ke Daik.

Akan tetapi, apabila sampai ke Johor rombongan Haji Senik diarah berpatah balik ke Pattani kerana orang Johor sanggup menyambung tugas ulama itu pulang ke Daik.

Dalam perjalanan balik dari Johor, rombongan Haji Senik singgah dan berkampung di satu kewasan yang diberi nama Teruntum. Menurut cerita, nama Teruntum berasal daripada ‘teratai sekuntum’.  (Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada bunga ‘teruntum’). Nama itu diberi kerana ketika rombongan Haji Senik sampai, terdapat sekuntum teratai yang mekar indah di situ. Teruntum adalah nama lama bandar Kuantan yang sekarang menjadi ibu negeri Pahang.

Kedatangan Haji Senik disusuli oleh adiknya Siti Fatimah tidak lama kemudian. Siti Fatimah dikenali penduduk setempat sebagai ‘Tun Fatimah dari Pattani’. Tun Fatimah meninggal dunia tidak lama selepas dia tiba di Teruntum. Dia dikebumikan di situ.
Haji Senik sangat sedih atas kematian adiknya itu. Dia membuat keputusan untuk mencari kawasan penempatan baru dan berpindah dari situ. Lagipun tanah di Teruntum gersang dan tidak sesuai untuk tujuan bercucuk tanam.

Haji Senik dan anak buahnya menyusur pantai mencari tempat baru. Setelah beberapa hari berjalan mereka sampai ke sebatang anak sungai. Mereka mendapati tanah di situ subur kerana terdapat banyak tumbuhan. Anak sungai itu jernih airnya. Ikan pun banyak di situ. Haji Senik mengambil keputusan untuk berkampung di situ. Mereka bergotong-royong membersihkan hutan.

Ketika mereka membersihkan kawasan tersebut, mereka mendapati banyak beruang berkeliaran di situ. Dengan itu, mereka menamakan sungai itu Sungai Beruang, dan perkampungan mereka sebagai Kampung Beruang. Tanah di Kampung Beruang itu sangat subur untuk bercucuk tanam. Masalahnya beruang juga gemar ke situ untuk mencari madu kelulut. Ketika mereka pergi ke kebun, mereka sering terserempak dengan beruang.
Akhirnya mereka mengadu hal itu kepada Haji Senik. Setelah mendengar aduan anak buahnya, Haji Senik meyakinkana mereka dengan berkata bahawa tempat itu adalah tempat yang paling sesuai untuk dibuat perkampungan. Tambah Haji Senik lagi, mereka hendaklah berkerjasama untuk membuat pagar agar beruang itu tidak dapat masuk ke kebun lagi.

“Kita berserah kepada Allah sahaja, agar segala yang kita buat itu berjaya.” tegasnya.

Haji Senik telah beberapa kali menyebut ‘berserah kepada Allah’ sebagai kata-kata perangsang untuk meyakinkan anak buahnya supaya cekal menghadapi masalah tersebut dan seterusnya tinggal di situ.

Bersempena dengan ungkapan ‘berserah kepada Allah’, akhirnya anak buahnya menamakan tempat itu Sungai beserah dan kampung itu, Kampung Beserah. Kian hari kampung itu kian terkenal, dan penduduknya juga semakin ramai.

Ancaman daripada beruang tidak berkekalan. Mereka hidup dengan aman dan damai serta bermuafakat dalam semua hal. Haji Senik mengajar agama dan mendirikan masjid yang pertama di Beserah.

Haji Senik dikatakan kerap berulang-alik ke istana Sultan di pekan dan beliau dilantik oleh Sultan sebagai penghulu Beserah yang pertama. Almarhum Sultan Ahmad diceritakan sangat sayang kepada Haji Senik kerana kebijaksanaannya menyelesaikan masalah masyarakat.

Beserah pada abad kedua puluh menjadi pusat perniagaan terkemuka dan menjadi tumpuan peniaga Cina dan India. Kini Beserah bukan sahaja dikenali sebagai kampung nelayan malah sudah banyak rumah dan kedai batu yang dibina, setara dengan perkembangan bandar-bandar lain di Pahang.


Wallahu a’lam.

sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi

HIKAYAT NAMA TEMPAT DI NEGERI PAHANG (BENTONG)

BENTONG.

Bentong adalah sebuah daerah di Negeri Pahang. Daerah ini bersempadan dengan Negeri Selangor di sebelah barat dan Negeri Sembilan di sebelah selatan. Bentong merupakan laluan utama perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri Kelantan.

Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut.

Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung” (ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung” menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung” bertukar menjadi Bentong.


Dari cerita lain yang ditulis oleh Pak Zek (Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam, seorang Budayawan Pahang), perkataan Bentong berasal daripada perkataan Bapong yang bermaksud timbul.

Bentong pernah dijadikan kubu oleh Dato’ Bahaman. Tentera British telah menghantar askar Gurkha untuk menewaskan Dato’ Bahaman dan menawan tempat tersebut. Bagaimanapun, sejumlah besar askar-askar Gurkha tersebut telah terbunuh hasil serangan hendap yang dilakukan oleh Dato’ Bahaman dan orang-orangnya.

Mayat-mayat askar Gurkha tersebut telah dihumban ke dalam sungai dan mayat-mayat tersebut timbul di permukaan air. Berikutan insiden inilah, kawasan tersebut dikenali sebagai Bapong, dan kemudiannya dikenali sebagai Bentong. Tarikh sebenar nama tersebut ditukar adalah dicatitkan pada 31hb Ogos 1957.


Daerah Bentong terletak dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Bentong dan terbahagi kepada 3 mukim iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai dan Mukim Pelangai. Selain dari Bandar Bentong, terdapat beberapa pekan lain yang menjadi tumpuan penduduk seperti di Karak, Bukit Tinggi, Telemong dan Simpang Pelangai.

Di daerah Bentong juga terdapat tempat menarik seperti Air Terjun Camang. Juga pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh Asia iaitu Genting Highland.


Wallahu a’lam.

sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi