MARAN adalah sebuah daerah dalam Negeri Pahang iaitu terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Kuantan ke Jerantut dan ke Temerloh.
Terdapat banyak tempat-tempat rekreasi yang menarik di daerah Maran seperti Air Terjun Berkelah, Jeram Pelangi di Kuala Sentul dan juga Lubuk Yu.
Dikatakan oleh orang-orang tua bahawa asal-usul nama Maran adalah berasal dari cantuman perkataan “Baran” dan “Mengaran”. Pada zaman dahulu, ditepi Sungai Luit yang laluannya tidak berapa jauh dari Bandar Maran ada beberapa buah kampung yang telah wujud semenjak Masehi 1250 seperti Kampung Merageh, Kampung Belada, Kampung Subuh, Kampung Kuala Luit, Kampung Garok dan Kampung Merbau.
Penduduk-penduduk dari kampung tersebut selalu berulang-alik ke satu kawasan paya Baran berhampiran sebatang anak Sungai Luit untuk menangkap ikan. Erti Baran dalam bahasa Melayu ialah hutan di kawasan yang ada banyak ikan terutama ikan keli, haruan dan ikan puyu.
Kawasan Baran menjadi tumpuan dan akhirnya penduduk kampung lebih suka bermalam di sana dan ada juga berpindah ke tempat itu, jadinya dari kampung asal berpindah duduk ke tempat lain terutamanya tempat yang belum ada namanya. Dalam bahasa melayu kampung selalu menyatakan bahawa orang yang berhijrah itu dengan nama Mengaran (maksudnya berhijrah ke Baran).
Ada sesetengah tempat di Pahang menyebut bahawa mengaran itu adalah sejenis cara menangkap ikan. Sebatang kayu panjang dicacakkan di tengah sungai dan dibiarkan kira-kira dua kaki dari kayu tersebut muncul di permukaan sungai. . Hujung kayu tersebut diikatkan tangsi dan mata kail. Umpan yang disangkut dibiarkan terapung-apung ditolak arus sungai. Mereka menyebutnya sebagai memasang aran.
Bagi mereka yang tinggal dengan membuat tempat kediaman di kawasan Baran Paya Chedong itu telah membuat kata sepakat menamakan tempat mereka itu Maran. Ini adalah disebabkan perkataan Mengaran ke Baran itu dicantumkan menjadi Maran. Maka disebabkan perkataan itulah kononnya asal-usul nama Maran diberi.
Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit.
Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).
Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai 'Maran' atau 'Sahabat' serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan menyusur sungai inilah orang asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran.
Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.
Wallahu a’lam.
sources: i love pahang (facebook fan page)
p.s: love tu simbol hearts tu ek... x pandai la nk wat... hihi
No comments:
Post a Comment