Islamic Widget

Al Quran

Saturday, August 8, 2009

Webometric Iktiraf UTM Universiti Terbaik Malaysia

Utusan Malaysia (Dalam Negeri), Sabtu 1 Ogos 2009

JOHOR BAHRU 31 Julai - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai universiti terbaik di negara ini berdasarkan penarafan Webometric yang dikeluarkan, di sini hari ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, melalui penarafan itu, ia menjadikan UTM sebagai universiti terbaik di Malaysia meninggalkan Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua.

Beliau berkata, penarafan tersebut dibuat dua kali setahun oleh Cybermetric Lab iaitu sebuah kumpulan penyelidik terbesar dari Sepanyol berdasarkan analisis kuantitatif laman web sesebuah universiti dan kandungan yang diperoleh daripada Internet.

''Kejayaan UTM disebabkan inisiatif serta sokongan semua pihak bagi menaik taraf dan melancarkan laman web baru dengan paparan yang yang lebih menarik, mudah diakses dan pantas.

''Di samping itu, banyak laman pengkayaan maklumat dan bahan yang bersesuaian dibangunkan setiap kakitangan akademik di fakulti dan pusat kecemerlangan menggunakan domain yang sama dalam usaha menyumbang ke arah peningkatan kedudukan dalam penarafan Webometric,'' katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zaini berkata, penarafan terbaru itu menunjukkan UTM berjaya menduduki tempat ke-10 di kalangan universiti di Asia Tenggara.

Beliau berkata, antara universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 universiti terbaik di Asia ialah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Turut tersenarai, katanya, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Beliau berkata, UTM turut memperkenalkan rangkaian laman web sosial yang boleh diakses secara terus daripada laman web universiti berkenaan sebagai salah satu kaedah untuk mendekati golongan sasaran.

''Langkah itu bagi membolehkan UTM memperkenalkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada golongan sasaran seperti remaja, mahasiswa serta penyelidik berkaitan program pembelajaran, kepakaran penyelidikan termasuk jaringan kerjasama antarabangsa,'' katanya.

No comments: